TIPS BERAYA DENGAN ANAK KECIL
Bagaimana persiapan raya anda? Jika tahun ini anda beraya dengan anak kecil, kami kongsikan sedikit tips untuk berkunjung ke rumah sanak saudara bersama anak-anak nanti.
Disiplin
Apabila membawa anak-anak dalam perjalanan yang jauh atau ke rumah sanak saudara, disiplin perlu dititikberatkan. Anak-anak sememangnya tidak betah duduk setempat dan sentiasa ‘playful’. Bimbang sekiranya kita menimbulkan ketidakselesaan kepada tuan rumah ketika anak-anak mula berkelakuan tidak sesuai.
Sebelum turun dari kereta, pesan terlebih dulu kepada anak-anak tentang adab sebagai tetamu, terangkan apa yang boleh dan tidak boleh. Pesanan-pesanan begini akan memberi persediaan mental kepada anak-anak untuk lebih sopan di rumah yang dikunjungi.
Jaga Masa
Sebolehnya ibu bapa peka kepada aturan waktu tidur mereka. Anak-anak mula merengek apabila mereka penat dan mengantuk. Mereka akan bad mood dan membuat hari raya kita kelam kabut. Berjaga-jaga supaya anak sentiasa selesa. Kita pun senang hati.
Kebersihan
Kebersihan anak-anak perlu dipantau setiap masa supaya mereka dalam keadaan selesa.
Tetapi kebersihan sekeliling juga perlu diberi perhatian supaya orang lain selesa. Ketika berkunjung ke rumah orang, lampin anak tidak boleh dibuang di sesuka hati. Seeloknya, bungkuskan lampin terpakai dengan plastik lain sebelum dibuang ke dalam tong sampah di rumah tersebut atau buang ke tempat lain. Beradablah kita sebagai tetamu.
Hiburan
Untuk perjalanan yang jauh, hiburan perlu disediakan bagi mengelakkan anak-anak bosan dan merengek di dalam kereta. Gadjet boleh diberi tetapi terhadkan waktu. Bawa alat mainan lain untuk mengalih perhatian mereka. Setibanya di rumah kunjungan nanti, galakkan anak-anak bersosial dengan sanak saudara.
Itu saja tips buat kali ini. Kami doakan supaya segala amal kita diterima. Semoga anda dapat bergembira di hari raya bersama anak-anak. SELAMAT HARI RAYA!!