ALAHAI SAYANG
Cara-cara untuk elak anak-anak bergaduh dan bagaimana menanganinya
Kita sudah sedia maklum anak-anak memang suka berkelahi sesama mereka. Adik dengan abang, abang dengan kakak, ada saja yang ingin mereka rebutkan dan akhirnya menangis. Ibu dan ayah pastinya mudah hilang sabar dan buntu bagaimana hendak mengawal mereka.
Jom kita lihat bagaimana untuk kita elak anak bergaduh.
1. Luahkan kasih sayang kepada anak-anak
Setiap anak memerlukan perhatian dan kasih sayang. Mereka selalu melakukan sesuatu perkara untuk mendapatkan perhatian kita. Bergaduh dan merengek adalah cara mereka membuat kita tertarik untuk melayani mereka. Ambil masa untuk luahkan kasih sayang kepada setiap seorang daripada anak kita supaya mereka tidak beranggapan bahawa kita melebihkan anak yang lain. Hati anak-anak yang tenang boleh menyebabkan mereka bersikap tenang juga.
2. Berhenti membandingkan
Sudah tentu hati anak-anak terasa sekiranya kita banyak menyebut tentang kebaikan salah seorang saja daripada mereka. Sama ada dari segi prestasi belajar mahupun sikap, ibu bapa seharusnya menasihati mereka tanpa mengatakan si adik/kakak/abang lebih baik daripada mereka. Hal ini akan mengelakkan anak-anak daripada berdendam dan cemburu dengan adik beradiknya.
3. Elakkan bergaduh suami isteri di hadapan anak-anak
Penting untuk ibu bapa mengambil kira hal ini. Elakkan bertikam lidah dengan pasangan di hadapan anak-anak. Mereka akan belajar melalui pemerhatian dan mendengar setiap perbualan kita. Pergolakan yang ditonjolkan secara sengaja mahupun tidak, tetap akan memberi pengaruh kepada anak-anak kecil. Mereka akan belajar untuk bersikap kasar atau berkata-kata kesat kepada adik beradik yang lain. Hati-hati ye ibu ayah semua!
4. Menjadi pendengar
Kita semua ingin didengari, walaupun apa yang kita mahu lakukan tidak masuk akal atau remeh. Pernah tak anak-anak berlari datang dan bercerita macam-macam hal yang membosankan? Nah, di sinilah ibu bapa perlu sabar untuk mendengar cerita dan rengekan mereka. Anak-anak akan kecewa jika ibu bapa melayani mereka acuh tak acuh, dan mereka akan mencari jalan supaya didengari. Bergaduh adalah salah satu cara membalas dendam kepada perasaan kecewa yang tak terlunas.
Ini adalah cara untuk elak anak bergaduh dalam jangka masa yang panjang. Sentiasa cuba untuk memahami anak yang lebih tua kerana mereka sedang mengasah ’emotional intelligence’ mereka. Dengan mempunyai anak yang tinggi empatinya, mereka akan kurang bergaduh dan mudah memahami situasi yang berlaku.
Selamat mencuba!
Recent Comments