Suri Rumah Tertekan Mengurus Anak-anak, Dan 5 Tips Ini Pasti Dapat Membantu | Khalifah Didik

Semua ibu pasti mengalami tekanan dalam menguruskan hal anak-anak, baik ibu yang bekerja mahupun ibu yang menjadi suri rumah sepenuh  masa. Pengurusan yang melibatkan anak-anak ini kadangkala menyebabkan kita sukar untuk menguruskan emosi dan tekanan bila sampai ke tahap zon merah. Yalah, dari pagi hingga ke lewat malam pekerjaan tidak henti. Kadangkala tidak sempat nak selesaikan semua kerja sebab terkejar-kejar dengan anak-anak. Sekejap anak menjerit, sekejap menangis, merengek, bergaduh. Itu belum lagi bila anak mengamuk tidak tahu sebab.  Naik pening dibuatnya.

Kadangkala hal itu jugalah membuatkan emosi kita menjadi kucar-kacir, marah dan melenting secara tiba-tiba dan mungkin sampai satu tahap kita sudah tidak dapat mengawal emosi sehingga menyelesaikan masalah dengan melakukan perkara yang tidak sewajarnya.

Jadi, 5 tips ini dapat membantu para ibu suri rumah mengatasi tekanan menguruskam anak-anak.

PILIH HOBI

Kita pasti rasa bahawa menjadi suri rumah membuatkan kita tidak ada masa dan terfikir untuk ada hobi dek kerana banyaknya kerja yang perlu dilakukan. Tetapi sebenarnya mempunyai aktiviti sampingan dapat membantu mengubah fikiran dari mood yang tertekan kepada mood yang tenang. Cuba anda fikirkan satu atau beberapa hobi seperti mengait, melakukan teka-teki silang kata, membaca atau apa sahaja aktiviti yang anda suka dan rasa tidak membebankan. Waktu tekanan kita sudah sampai ke satu tahap yang sukar dikawal, berhentilah melakukan kerja-kerja rumah dan tukarkan kepada aktiviti hobi yang santai yang boleh menenangkan fikiran dan dapat menghentikan tekanan.

KENAL PASTI MASA YANG PALING TERTEKAN

Setiap hari kita melakukan rutin yang sama dalam menguruskan hal rumah tangga dan anak-anak, jadi kita pasti dapat tahu waktu dan situasi mana emosi dan tekanan kita mulai meningkat. Contohnya waktu pagi,  ketika menguruskan anak-anak bangun dan ke sekolah. Anda boleh set masa agar keadaan tidak kelam kabut dan rutin dapat dilakukan dengan tenang. Mungkin perlu bangun lebih awal dan sediakan waktu untuk anda rehat dan tenang sebelum menguruskan anak-anak atau siapkan segala kelengkapan pada malam hari bersama anak-anak dan suami. Anda juga  perlu siap sedia untuk set minda jika ada perkara di luar jangkaan, seperti anak-anak tiba-tiba buat hal. Mengamuk di waktu pagi. Pastikan tiada masalah lain ketika anda selesaikan satu perkara. Jangan fokus terlalu banyak masalah dan hal yang merumitkan. Selesaikan satu persatu agar tekanan anda dapat dikawal.

TETAPKAN RUTIN HARIAN

Para ibu, kita tahu bagaimana perjalanan tugas harian kita, oleh itu anda perlu strukturkan kerja-kerja yang anda akan lakukan. Bahagikan pekerjaan kepada hari-hari mengikut jadual harian. Contohnya anda boleh tetapkan hari rabu dan sabtu untuk anda mencuci pakaian. Jadi satu hari itu anda perlu lebihkan fokus kepada pakaian sahaja. Hari minggu mungkin masanya anda berehat dari kerja-kerja dapur , pergilah bersiar-siar dan makan diluar. Boleh juga melakukan aktiviti bersama keluarga dengan masak bersama-sama.  Jadi waktu sibuk dan kepenatan anda dapat dikurangkan. Fikirkan pengurusan jadual yang sistematik dan dapat memudahkan anda.

LIBATKAN ANAK-ANAK

Tidak ada salahnya untuk meminta anak-anak membantu anda dalam melakukan tugas harian. Anda boleh libatkan mereka dalam aktiviti mengemas, memasak, membeli belah dan lain-lain. Jadikan mereka seronok untuk membuat kerja dan membantu anda. Jika anda melibatkan mereka seawal kecil, kelak akan mengurangkan tekanan anda ketika memberi arahan apabila mereka semakin membesar kelak. Tapi perlu diingat anak kecil pasti melakukan kesilapan ketika membantu, anda perlu bersabar dan bertahanlah untuk mendidik untuk permulaan. Jika sudah mula menjadi kebiasaan, mereka akan faham dan mengikuti cara anda.  Jangan patahkan semangat anak-anak ketika mereka mahu membantu.

BERNAFASLAH

Apabila anda berada dalam keadaan tertekan, pernafasan anda akan berubah. Anda boleh menenangkan diri dengan mengambil beberapa minit memfokuskan cara anda bernafas. Mulailah menyedut dan menghembus nafas. Tahan nafas beberapa minit kemudian hembuslah dengan perlahan-lahan. Anda boleh lakukan lima hingga 10 kali. Dan cara yang lebih baik ialah dengan membaca al-Quran kerana sangat membantu menenangkan pernafasan. Ketika membaca al-quran pergerakan nafas kita akan beralun dengan baik dan membaca al-Quran itu membuatkan jiwa dan hati tenang. 

Oleh itu para ibu yang besar pengorbanannya, berusahalah untuk keluar dari tekanan. Jangan terlalu memikirkan masalah yang berat agar anda sentiasa bertenang. Set minda positif anda walaupun dalam keadaan sukar dan melelahkan. Jika tidak lagi mampu, berhentilah seketika dari rutin harian anda. Beri ruang diri anda untuk meredakan tekanan dalam menguruskan rumah tangga.

Terima kasih sudah meluangkan masa untuk membaca artikel ini. Jangan lupa share ya. Sila subscribe untuk tips dan panduan keibubapaan yang lain.

Jika anda mencari tadika terbaik untuk anak anda? Dapatkan maklumat terkini untuk mengetahui tentang Tadika Khalifah Didik yang telah melahirkan ramai anak yang pandai membaca dan solat sedari umur 4 tahun.

 

Leave a Reply