Skip to main content

Menjadi Ibubapa Yang Hebat Dan Cemerlang Dalam Mendidik Anak-anak

PENDIDIK’ merupakan insan yang mencorakkan keperibadian dan keilmuan seseorang. Pendidik bukan dirujuk kepada guru yang mengajar di sekolah sahaja malah boleh juga diistilahkan kepada ibubapa kerana hasil pendidikan awal anak-anak bermula daripada ibu dan bapa.

Seorang pendidik haruslah mempunyai sifat-sifat keperibadian yang dapat diteladani oleh anak-anak dan berjaya memberi contoh terbaik dalam nilai pendidikan. Jadi  5 perkara penting ini harus ada dalam diri seorang pendidik yang hebat.

1. ADIL

KEADILAN sangat penting dalam menguruskan permasalahan yang dicetuskan oleh anak-anak. Anda perlu bersikap adil dalam menangani permasalahan tersebut. Adil haruslah diletakkan pada tempatnya.

Jika anak-anak melakukan kesalahan, anda harus mengadilinya dengan telus. Anda tidak boleh menghukum tanpa anda menyelidik terlebih dahulu.

Seorang pendidik yang hebat, dia tidak terbawa emosi terhadap permasalahan tetapi bersikap tenang untuk menjalankan keadilan dalam setiap perkara kerana pentingnya bersikap adil agar anak-anak tidak terasa diri dipersalahkan dan dihukum tanpa ada pembelaan.

Bertanyalah dengan hikmah dalam menangani masalah agar keadilan itu berjalan seiring dalam penyelesaian masalah tersebut.

Malah, seorang pendidik juga harus adil dalam berbagi kasih sayang dan membahagikan sesuatu dengan sama rata agar anak-anak dapat belajar untuk bersikap sedemikian daripada pemerhatian corak pendidikan tersebut.

2. PENGASIH

Zahirkan kasih sayang terhadap anak-anak. Walau sebanyak mana pun karenah mereka yang memeningkan dan memenatkan, anda harus sentiasa menyebarkan kasih sayang dengan memadam aura negatif yang sedang menguasai diri ketika itu.

Jika perlu ditegur, tegurlah dengan kasih sayang.

Jika perlu dimarah, marahlah dengan kasih sayang.

Jika perlu diajar, ajarlah dengan kasih sayang.

Jika setiap perkara anda lakukan dengan kasih sayang, secara automatik kasih sayang itu akan membesar dan membuahkan hasil yang mendamaikan dan menggembirakan buat anak-anak juga kepada anda.

3. PENYAMPAI ILMU

Menjadi keutamaan bagi seorang pendidik untuk menyampaikan ilmu. Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara, banyak hal yang boleh diajar, ditunjuk, diteladani kepada anak-anak.

Ilmu pendidikan itu terlalu luas dalam kehidupan seharian. Ambil masa dan ruang untuk menyampaikan ilmu. Lebih-lebih lagi mulai dengan mengajarkan Tauhid kepada anak-anak. Libatkan Allah dalam setiap perkara. Tunjukkan kebesaran, kekuasaan dan kecintaan Allah.

Dalam hal akhlak dan keperibadian contohilah Rasulullah SAW. Ceritakan kepada anak-anak akan keperibadian, kisah teladan dan perjuangan nabi yang dapat dikaitkan dalam aktiviti seharian anak-anak.

4. TAWADUK

Sifat tawaduk merupakan sikap yang sentiasa merendah diri, tidak angkuh dan sombong. Sifat ini merupakan sifat mutlak yang mulia. Dalam ilmu pendidikan ia sangat penting bagi menghubungkan pendidik dan anak-anak didik untuk memberi keselesaan dalam komunikasi.

Nabi Muhammad SAW kerap kali mengajarkan kepada umat manusia untuk bersikap rendah hati kerana baginda sangat pandai dalam bersikap dan bersifat rendah diri.

Sabda Rasulullah SAW:

“Allah telah memberi wahyu kepadaku, iaitu agar kamu semua berendah hati, tidak saling membanggakan dan saling menyakiti.”

– (Hadis Riwayat Muslim)

Kadangkala ada perkara yang anda tidak ketahui lebih diketahui oleh anak-anak. Jadi, anda perlu berhati-hati supaya tidak menjadi pendidik yang sombong kerana ilmu yang dimiliki sehingga memperkecilkan pengetahuan anak-anak dengan membalas kata negatif seperti ini;

“Ibu lebih tahu daripada kamu, jangan cuba nak memandai!”

“Apa yang kamu cakap itu salah! Cikgu yang lebih faham daripada kamu!”

Jika tidak ada sifat tawaduk dalam diri, boleh jadi anda akan membesarkan diri sehingga anda menidakkan pengetahuan anak-anak walhal apa yang anak-anak kongsikan dan sampaikan adalah sesuatu yang betul dan jelas kebenarannya.

5.  TOLERANSI DAN BIJAKSANA

Menjadi peranan penting untuk membentuk sikap toleransi dalam diri. Sifat ini perlu ditunjuki ketika anda menyelesaikan masalah anak-anak. Anda perlu bertoleransi dan bijak dalam bertindak supaya memberi kesan positif kepada anak-anak.  

Terima kasih sudah meluangkan masa untuk membaca artikel ini. Jangan lupa share ya. Silalah subscribe untuk membaca lebih banyak tips dan panduan keibubapaan yang lain.

Jika anda mencari tadika terbaik untuk anak anda? Dapatkan maklumat terkini bagi mengetahui tentang Tadika Khalifah Didik yang telah melahirkan ramai anak yang pandai membaca dan solat sedari umur 4 tahun.

 

Leave a Reply