Skip to main content

Tips disiplinkan anak kecil anda dengan mudah dan praktikal.

Disiplin merupakan latihan membentuk pemikiran dan kelakukan agar dapat dikawal mengikut peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan. Mendidik disiplin anak-anak tidak mempunyai batas usia. Ia harus bermula sedari kecil atau seawal usia. Oleh itu, ini kami kongsikan kepada anda tips disiplinkan anak kecil yang mudah dan praktikal.

Disiplin anak-anak adalah sangat penting bagi mengarahkan tingkah laku agar berada di dalam landasan yang betul dan tidak melepasi garisan yang sudah ditetapkan supaya anak-anak dapat membentuk sahsiah diri yang baik. Jadi, anda perlu tahu cara didikan yang betul untuk membentuk disiplin terbaik.

Berikut adalah perkara yang perlu anda titikberatkan dalam mendisiplinkan anak-anak.

  • Komunikasi yang baik

Dalam mendisiplinkan anak-anak perlu memberi garis panduan yang benar, baik dan menyenangkan. Sesuai dengan ajaran mengikut al-Quran dan penerimaan otak kerana otak adalah sambungan kepada setiap input yang diberi. Jadi, sambunglah penerimaan itu dengan perkara dan kata yang baik-baik.

Anak-anak berumur 0-8 tahun, cara komunikasi perlu lembut. Frekuensi nada suara perlu rendah.Tidak boleh terlalu keras tetapi perlu tegas.

Jika anda mahu memberi sesuatu arahan atau menghalang sesuatu perkara berikan input yang betul supaya anak anda faham apa yang dimaksudkan. Elakkan menjerit-jerit dalam mengarahkan tindakan anak-anak.

Bentuk batasan dengan penerangan yang jelas agar anak-anak faham agar tindakan yang perlu dilakukan.

  • Harus ada kasih sayang

Membentuk disiplin bukan bererti menunjukkan kebencian, kemarahan atau kongkongan tetapi perlu pamerkan kasih sayang. Berikan kefahaman yang jelas kepada anak-anak dengan penuh nilai kecintaan. Contohnya;

  1. “Sayang, barang itu untuk bermain atau untuk dilempar? Jika dilempar dan dirosakkan barang-barangnya, bagaimana mahu bermain? Allah suka atau tidak jika kita merosakkan barang?”
  2. “Adik, barang ini tempatnya di sini. Jadi, mama mahu selepas bermain adik letak di sini ya. Mama sayang adik sebab adik dengar kata mama. Allah juga pasti sayang adik.”

Oleh itu, setiap perkara yang kita ingin lakukan perlu bermula dengan mewujudkan kebiasaan yang menyenangkan anak-anak dan dapat meninggalkan kenangan yang menggembirakan.

  • Jangan mendisiplinkan anak terlalu keras

Kekerasan tidak memberi kesan yang baik dalam jangka masa yang panjang. Jika kita menggunakan kekerasan dalam mendisiplinkan anak-anak, perilakunya mungkin akan terbentuk tetapi bagaimana dengan perasaannya.

Mungkin dengan adanya kenangan-kenangan kekerasan itu membuatkan anak-anak akan menyimpan emosi yang kurang baik. Mungkin sampai dewasa akan menyebabkan perasaannya terguris.

Jadi cuba elakkan daripada hukuman terlalu banyak, hukuman berbentuk pukulan, kata-kata terlalu tajam dan bahasa yang kasar.

  • Jadual dan peraturan

Wujudkan jadual harian dan peraturan yang menyenangkan agar anak-anak tahu batasan yang perlu dijaga dan pengurusan diri.

Apabila sudah ditetapkan jadual dan peraturan tersebut, anda perlu lakukan setiap arahan itu dengan konsisten dan tidak berubah-ubah supaya anak-anak jelas dan faham apa yang perlu diikuti oleh mereka.

Jadi ibu bapa, anda perlu tahu pentingnya untuk mendisiplinkan anak-anak sedari awal usia kerana anak-anak yang tidak dibentuk dengan disiplin yang baik boleh menyebabkan anak-anak tidak tahu menyesuaikan diri dalam kelompok orang ramai, mudah panik, takut dan kurang yakin diri. Pembentukan disiplin dengan memberi garis panduan yang betul membuatkan anak-anak akan lebih memahami batasan dan mengawal tingkah laku dengan baik.

 

Leave a Reply