Sebagai ibu bapa, kita mesti berasa kecewa, kecil hati, dan sedih jika anak kita ingkar dengan arahan atau melawan cakap kita.
Kenapa Anak Tak Dengar Cakap?
Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Apakah salah kita dalam mendidik anak-anak kita? Jom kita tengok Petua Supaya Anak Dengar Cakap di bawah..
GUNAKAN BAHASA YANG BAIK DAN HALUS
Ibu bapa perlu cuba mengelak penggunaan perkataan “tidak” atau “jangan”. Sebaliknya, gunakan ayat positif untuk mengarah dan memberikan tunjuk ajar kepada anak anda. Jika anda menggunakan ayat yang positif dan penuh dengan kasih sayang, anak-anak akan berasa yakin, disayangi dan istimewa.
PANDANG MATA ANAK ANDA SEBELUM BERCAKAP DENGANNYA
Sebelum memberi arahan, pastikan level mata anda dan anak anda selari. Renung anak matanya dan pastikan dia memberi perhatian pada anda.
PANGGIL DAN UCAP NAMA ANAK SEBELUM MEMBERI ARAHAN
Jika anda menyebut namanya, dia akan memberi perhatian pada anda dan pesanan yang ingin anda sampaikan dapat diterima dengan baik. Kalau boleh, panggil dengan nama penuh. Baru dia tahu, dengan panggilan nama penuh, tentu ia sesuatu yang serius.
PASTIKAN PESANAN ANDA RINGKAS DAN JELAS
Adalah penting untuk diingati bahawa kanak-kanak tetap adalah kanak-kanak. Mereka tidak akan memahami mesej yang tersembunyi dari pesanan yang kurang jelas. Elakkan memberi arahan dengan banyak pada satu-satu masa terutamanya jika mereka masih kecil.
ELAKKAN DARI BERLETER PANJANG
Selalunya, ibu bapa akan mula berleter apabila anak-anak tidak mendengar kata-kata mereka. Jadi, daripada anda berleter dan membebel panjang, lebih baik anda tampal lukisan atau satu carta kerja dalam bilik anak anda dan tunjukkan pada mereka. Tugasan rumah harian yang perlu mereka selesaikan dalam sela waktu yang ditetapkan perlu dijelaskan dalam carta ini. Pastikan anda membuat carta tugasan yang sesuai dengan umur anak anda dan pertimbangkan juga waktu untuk mereka berehat dan bermain.
BERIKAN ANAK ANDA “REWARD” YANG MEREKA TIDAK BOLEH LEPASKAN
Apabila anak anda berjaya menyelesaikan sesuatu, anda perlulah memberikan mereka hadiah atau ganjaran yang mereka suka. Pastikan hadiah tersebut adalah untuk kebaikan anak anda dan bukannya hanya untuk memanjakan mereka. InsyaAllah anak-anak akan dengar cakap anda apabila anda memberi arahan seterusnya.
MENJADI TELADAN UNTUK ANAK-ANAK
Anak-anak mengikut jejak langkah ibu bapa mereka dalam semua perkara. Jadi, berbudi pekerti bukanlah sesuatu yang diharapkan lahir sendiri dari seorang kanak-kanak. Selain itu, ajarkan mereka kata-kata sopan yang mudah sebelum mereka belajar bercakap.
TEGAS
Jika anda telah membuat keputusan dan telah menyampaikannya pada anak anda, anda patut bertegas dengan keputusan tersebut.
Bincangkan dengan pasangan anda dan pastikan anda mencapai kata sepakat bersama pasangan anda. Ini akan mengajar anak anda bahawa apabila sesuatu keputusan telah dibuat, ia tetap tidak akan berubah dan mereka perlu patuh dan dengar cakap anda.
BERSIFAT TERBUKA UNTUK PERBINCANGAN
Apabila anak anda semakin membesar, anda perlu menitik beratkan hal emosi dan pandangan mereka. Elakkan dari memberi arahan yang kelihatan seolah-olah muktamad.
Berikan anak anda ruang untuk berfikir dan membuka minda mereka serta berkongsi perasaan dan tanggapan mereka.
BUAT ANAK MACAM KAWAN
Pastikan anda bercakap dengan anak anda seolah-olah anda bercakap dengan kawan anda. Ini akan membantu anda mengawal nada suara dan isu-isu yang panas.
TERIMALAH ANAK ANDA SEADANYA
Setiap anak mempunyai sifat positif dan negatif. Terimalah mereka seadanya dan sayangilah mereka walau apa jua kekurangan mereka.
Ini membuatkan mereka selesa berkongsi perasaan dan buah fikiran.
Recent Comments